FSTE – PROGRAM “SCIENCE AND MATHEMATICS FUN DAY 2026” DI SRAI BANDAR BARU KUALA SELANGOR

KEMERIAHAN PROGRAM “SCIENCE AND MATHEMATICS FUN DAY 2026” DI SRAI BANDAR BARU KUALA SELANGOR
 
Kuala Selangor, 1 Julai 2026– Program Science and Mathematics Fun Day 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Bandar Baru Kuala Selangor pada Rabu, 1 Julai 2026. Program anjuran SRAI Bandar Baru Kuala Selangor bersama PIBG dengan kerjasama Portfolio Pemasaran Fakulti Sains, Teknologi dan Kejuruteraan (FSTE), Universiti Selangor (UNISEL) ini berjaya menghimpunkan seramai 215 murid Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6 dalam suasana pembelajaran yang aktif, ceria dan penuh keterujaan.
 
Program ini dianjurkan sebagai usaha memberi pendedahan awal kepada murid terhadap konsep Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, aktiviti praktikal serta cabaran berkumpulan. Penganjuran program ini turut membantu meningkatkan minat, motivasi, keyakinan diri, kemahiran berfikir secara kritis dan kreativiti murid terhadap matapelajaran Sains dan Matematik. Majlis telah dimulakan dengan sesi perasmian, ucapan pihak sekolah serta taklimat perjalanan aktiviti dan pameran STEM oleh Puan Rozila binti Alias, pensyarah kanan.
 
Sepanjang program berlangsung, murid-murid telah dibahagikan mengikut kumpulan dan bergerak ke beberapa stesen aktiviti yang dikendalikan oleh pensyarah UNISEL bersama fasilitator. Pensyarah-pensyarah FSTE seramai 6 orang iaitu En. Tuan Badli Shah bin Tuan Jusoh, En. Norhisyam bin Mat Sout, Puan Rozila binti Alias, Puan Siti Rahayu binti Hassan, Puan Rohaizah binti Mohd Ghazali, Puan Siti Nor Baizura binti Zawawi, dan seorang staf teknikal, En. Khairul Anwar bin Mohd Said telah bersama-sama turut terlibat sebagai fasilitator. Program ini turut dijayakan melalui komitmen tinggi Ahli Jawatankuasa (AJK) dan sekretariat program yang terdiri daripada pensyarah, Puan Muzairihana binti Mohd Moid,, Ir. Ts. Dr. Nazlin Harnie bt Abdullah, Ir. Rabitah bt Handan, Ts. Noor Halini bt Baharim, dan staf teknikal, En. Mohd Fairuz bin Ahmad, bersama 4 orang pelajar program Asasi Sains UNISEL serta 5 orang sukarelawan. Diantara aktiviti STEM yang mendapat sambutan amat menggalakkan ialah Science Challenge: Primitive Fire Module, Fun Experiment Station, MindQuest STEM Challenge dan Math Relay Challenge.
 
Aktiviti-aktiviti tersebut merangkumi konsep sains dan matematik melalui penghasilan primitive api, eksperimen belon fermentasi yis, mikroskopik, pewarnaan niai pH, permainan minda, puzzle, cabaran aritmetrikan, geometri, logik serta penyelesaian kod akhir. Murid-murid sangat jelas menunjukkan keterujaan dan semangat yang tinggi di sepanjang program. Pendekatan ini membuktikan bahawa pembelajaran STEM boleh disampaikan dengan lebih kreatif, mudah difahami dan dekat dengan kehidupan harian murid. Program turut diakhiri dengan majlis penutup serta penyampaian hadiah kepada peserta dan kumpulan yang menunjukkan pencapaian terbaik dalam pelbagai aktiviti yang dijalankan. Cenderamata turut disampaikan sebagai tanda penghargaan kepada pihak sekolah, guru-guru dan semua pihak yang menjayakan program ini. Guru Besar SRAI Bandar Baru Kuala Selangor, YBhg, Puan Siti Zumaiyah binti Mohd Kalil, bersama guru-guru sekolah dan ketua panitia Matematik, Puan Salmah binti Ismail, dan ketuapanitia Sains, Puan Nurul Bariah binti Miswan turut menyatakan penghargaan dan berhasrat meneruskan jalinan kerjasama bersama pihak UNISEL.
 
Pihak sekolah juga berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuhkan minat murid terhadap bidang STEM sejak peringkat sekolah rendah. Program ini turut mencerminkan komitmen UNISEL dalam melaksanakan tanggungjawab sosial universiti melalui perkongsian kepakaran, pemindahan ilmu (knowledge transfer) serta penyampaian pendidikan STEM secara langsung kepada komuniti sekolah. Secara keseluruhannya,
 
Program Science and Mathematics Fun Day 2026 berjaya mencapai objektifnya dalam memupuk minat murid tahap Tahun 4,5 dan 6 terhadap Sains dan Matematik di samping memperkukuhkan hubungan strategik antara UNISEL, pihak sekolah dan komuniti setempat. Program ini juga selaras dengan SDG 4: Pendidikan Berkualiti melalui penyediaan pengalaman pembelajaran STEM yang menyeronokkan dan bermakna kepada murid. Selain itu, penglibatan UNISEL, pihak sekolah, PIBG serta komuniti menyokong SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan dengan memperkukuhkan jaringan pendidikan komuniti demi pembangunan generasi muda yang berilmu, kreatif dan berdaya tahan.