Teluk Kumbar, Bayan Lepas, 2 Julai 2025 – Program Rehlah Sains anjuran Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara telah berlangsung meriah di Sekolah Menengah Islam (SMI) Al-Itqan dengan pengisian ceramah bertajuk “Inspirasi Sains, Teknologi dan Inovasi dari Alam Ciptaan Tuhan”.
Ceramah tersebut telah disampaikan oleh 𝗣𝗿𝗼𝗳. 𝗠𝗮𝗱𝘆𝗮 𝗧𝘀. 𝗗𝗿. 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗡𝗮𝘇𝗶𝗿 𝗯𝗶𝗻 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗺𝗲𝗱 𝗞𝗵𝗮𝗹𝗶𝗱 dari Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat (FELS), Universiti Selangor, selaku penceramah jemputan. Beliau menekankan bagaimana alam semula jadi yang diciptakan Tuhan sarat dengan inspirasi untuk perkembangan sains dan teknologi moden. Antara yang diketengahkan ialah contoh biomimikri – inovasi yang diilhamkan daripada keunikan sistem alam seperti struktur tumbuhan, haiwan, dan fenomena alam.
Menurut beliau, pendekatan ini bukan sahaja menggalakkan pelajar berfikir kritis dan kreatif, malah menyemai rasa syukur serta kesedaran bahawa ilmu sains seharusnya membawa manusia lebih dekat kepada Pencipta.
Program ini mendapat sambutan baik daripada para pelajar dan guru, yang teruja dengan perkongsian tersebut. Pihak sekolah berharap penganjuran seumpama ini dapat diteruskan bagi membina generasi yang bukan sahaja celik sains dan teknologi, tetapi juga berakhlak serta berdaya inovasi.








