![]()
EXPO STEM 2026: MENYEMARAKKAN INOVASI DAN MINAT GENERASI MUDA DALAM STEM
BUKIT SENTOSA, 26 Ogos 2026 – Seramai 450 orang pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 telah menyertai Ekspo STEM 2026 yang berlangsung meriah di Dewan Umar Abdul Aziz, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sentosa 2 (SMKBS2).
Program yang berlangsung dari 8.00 pagi hingga 4.30 petang ini menjadi platform kepada para pelajar untuk meneroka dunia Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pelbagai aktiviti, pameran serta perkongsian ilmu.
Menariknya, Fakulti Sains, Teknologi dan Kejuruteraan (FSTE), Universiti Selangor (UNISEL) turut dijemput bagi berkongsi pengetahuan, menjalankan aktiviti STEM dan mengetengahkan pameran inovasi kepada para pelajar.
Ekspo ini turut dimeriahkan dengan pertandingan inovasi pelajar yang memberi ruang kepada mereka mengetengahkan idea, kreativiti dan penyelesaian masalah berasaskan konsep STEM. Aktiviti sebegini bukan sahaja mencungkil bakat, malah membina keyakinan pelajar untuk berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif.
Penglibatan pensyarah FSTE UNISEL iaitu Dr. Noorasiah binti Hassan, Dr. Nurhafizah binti Ibrahim, Pn. Rozila binti Alias, Pn. Farrah Nazuha binti Mansor dan Ch.M. Sulaiman Abdul Haq bin Hazman turut memeriahkan aktiviti dan pameran sepanjang ekspo berlangsung.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pengetua SMK Bukit Sentosa 2, Puan Chen Nyuk Foong, barisan pentadbir, guru-guru, jawatankuasa pelaksana serta seluruh warga SMK Bukit Sentosa 2 atas jemputan, kepercayaan, kerjasama dan layanan mesra yang diberikan.
Bersama-sama kita membina generasi muda yang kreatif, inovatif, berkemahiran, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia digital masa hadapan.
STEM hari ini, inovasi untuk masa hadapan! 




